Selasa, 31 Ogos 2010

1.0 PENCEMARAN UDARA


1.1 Pengenalan Kepada Pencemaran Udara


Pencemaran udara boleh didefinisikan sebagai terdapatnya gas, cecair atau zarah yang terkandung dalam udara sehingga berlakunya perubahan yang menjejaskan kehidupan atau bahan-bahan lain. Pencemaran udara disebabkan oleh pelepasan asap melalui ekzos kenderaan, kawasan industri yang melepaskan asap atau bahan pencemar, dan penggunaan dapur arang atau kayu yang tidak terkawal.


Pencemaran udara boleh dikelaskan kepada dua bahagian iaitu primer dan sekunder. Pencemaran udara primer bermula apabila penghasilan sulfur monoksida dan karbon monoksida akibat daripada pembakaran yang tidak lengkap. Proses ini akan menyebabkan zarah-zarah yang halus terampai di udara dan memberikan kesan sampingan kepada kesihatan manusia. Kebanyakan pencemaran udara primer ini dilepaskan melalui ekzos kenderaan, kawasan industri yang melepaskan asap atau bahan pencemar, dan penggunaan dapur arang atau kayu yang tidak terkawal. Pencemaran udara sekunder pula adalah hasil daripada tindak balas sulfur dioksida yang bergabung dengan wap-wap air di udara.


1.2 Kesan–Kesan Pencemaran Udara


1.2.1 Kesan terhadap Kesihatan Manusia


Pencemaran udara telah memberi kesan yang buruk terhadap hidupan di dunia pada masa kini. Di antara kesan utama yang menimpa manusia akibat daripada pencemaran udara ialah terhadap sistem pernafasan. Udara dan bahan cemar yang terperangkap didalamnya akan memasuki hidung atau mulut manusia dan memasuki paru-paru melalui trakea. Karbon monoksida (CO) adalah antara gas yang dapat meracuni sistem pengangkutan oksigen dalam darah dengan begitu berkesan sekali. Selain itu, bahan cemar Nitrogen Oksida (NO2) boleh menyebabkan edema dan pendarahan pulmonari, bahan cemar gas ozon (O3) boleh menimbulkan kerengsaan. Habuk,asap, kabus, wap atau bahan-bahan lain juga menghalang penglihatan mata dan juga menjejaskan mata manusia.


1.2.2 Kesan Terhadap Tumbuh-tumbuhan


Pencemaran udara juga memberi kesan yang sangat buruk terhadap tumbuh-tumbuhan di dunia ini. Tumbuh-tumbuhan mengalami kerosakan dengan tiga cara iaitu Nekrosis (Keguguran daun), Klorosis (Pertukaran warna), dan perubahan pertumbuhan. Alfalfa, barli, kapas, gandum dan epal adalah antara tumbuhan yang mudah mengalami kerosakan dengan bahan cemar sulfur dioksida. Selain itu, tomato, kekacang, bayam dan kentang juga mengalami kerosakan dengan adanya gas ozon di udara. Keadaan ini menyebabkan bumi kekurangan sumber makanan dan ekonomi sebahagian daripada penduduk dibumi juga terganggu.


1.2.3 Kesan Terhadap Haiwan


Seterusnya, bahan cemar juga menyebabkan haiwan-haiwan terancam dan terbunuh. Sebagai contoh, di Poza Rica, Mexico, sekumpulan burung kenari, ayam, itik, lembu, khinzir angsa dan anjing telah mati akibat terdedah kepada sulfur dioksida (SO2) yang dilepaskan ke udara oleh sebuah loji penapisan pada tahun 1950. Kematian haiwan itu disebabkan oleh penghadaman makanan haiwan yang tercemar setelah terdedah kepada bahan–bahan toksid yang terdapat di dalam udara. Contoh lain adalah keracunan yang disebabkan oleh plumbum (Pb) yang telah membawa maut kepada lembu dan kuda yang berlaku di Jerman. Haiwan-haiwan ini yang meragut kawasan rumput sekitar 5 kilometer dari sebuah kawasan kilang plumbum dan zink telah mengalami keracunan akibat daripada habuk plumbum yang dilepaskan oleh kilang tersebut.


1.2.4 Kesan Terhadap Bahan


Bahan-bahan cemar di udara juga mengotorkan permukaan bahan terutamanya kepada bangunan, pakaian, dan juga benda-benda lain. Pengotoran berlaku akibat dari pengendapan asap atau zarah halus yang begaris pusat kira- kira 0.3 mikrometer. Selepas beberapa lama, pengendapan ini dapat dilihat dan dipanggil kekotoran, kelunturan, atau kehitaman permukaan. Selain itu, kakisan logam juga berlaku disebabkan berlakunya kehadiran sulfur dioksida (SO2) di dalam udara. Bahan cemar juga menyebabkan fabric-fabrik mudah rosak. Keadaan ini telah berlaku di Kanada dan Florida dimana stoking wanita mudah terurai disebabkan oleh kabus halus asid sulfuric yang terdapat di bandar-bandar tersebut.


1.2.5 Kesan Terhadap Lapisan Ozon


Pencemaran udara juga menyebabkan penyusutan lapisan ozon bumi yang melindungi hidupan di bumi ini daripada sinaran terus matahari. Pembebasan gas klorofluorocarbon (CFC) yang digunakan dalam alat-alat penyembur, alat penyaman udara dan peti sejuk menipiskan lapisan ozon ini. Ini menyebabkan lebih banyak sinaran matahari yang sampai ke bumi. Pendedahan secara terus kepada cahaya matahari boleh menyebabkan kanser kulit yang amat berbahaya kepada manusia dan juga hidupan lain. Pancaran matahari yang terik juga menyebabkan berlakunya pencairaan kepada ais-ais di bahagian kutub-kutub bumi dan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan ekosistem di dunia pada masa kini.


1.2.6 Kejadian Hujan Asid


Seterusnya, pencemaran udara juga menyebabkan terbentuknya Hujan asid yang disebabkan oleh penggabungan gas-gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida dengan air hujan. Ianya berlaku apabila gas-gas sulfur oksida (SO2) dan oksida-oksida nitrogen (NOx) dilepaskan ke udara dan bertindakbalas dengan wap air yang terdapat di atmosfera dan seterusnya menjadi asid sulfurik dan asid nitrik. Asid ini terkumpul di dalam awan dan awan pula bergerak ke tempat- tempat lain dan membawa asid-asid tersebut. Asid itu akan turun bersama-sama dengan hujan dan menimpa hidupan yang terdapat di dunia. Ianya membunuh tumbuh-tumbuhan dan juga hidupan air. Ia juga boleh menghakis pakaian, kertas dan bahan binaan bangunan. Selain itu, asid tersebut juga meresap kedalam tanah dan menyebabkan kualiti tanah berkurang dan menjadikannya tidak subur.


1.2.7 Kesan Rumah Hijau dan Pemanasan Global


Kesan yang paling ketara dan sedang hangat deperkatakan oleh seluruh warga dunia pada masa kini adalah kesan pemanasan global yang disebabkan oleh kesan rumah hijau. Kenaikan suhu bumi dan penipisan lapisan ozon menjadi punca kepada pemanasan global ini yang dapat dirasakan oleh seluruh penduduk bumi. Kenaikan suhu bumi disebabkan oleh pembebasan gas-gas karbon dioksida dan terkumpul di dalam udara. Gas karbon dioksida yang terlalu banyak menyebabkan haba di bumi terperangkap dan akhirnya suhu bumi meningkat dan persekitaranya menjadi panas. Penyusutan lapisan ozon juga adalah faktor utama kejadian pemanasan global ini. Pemanasan global menyebabkan keadaan bumi menjadi panas, ekosistem terganggu, banjir berlaku secara kerap dan juga berlakunya kejadian alam yang tidak normal. Kebakaran hutan yang berlaku juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada suhu di bumi ini dan juga menjejaskan kualiti udara.


1.2.8 Kesan Terhadap Atmosfera


Kesan terhadap atmosfera yang dibawa oleh pencemaran udara pula ialah mengurangkan jarak penglihatan. Contoh yang paling jelas ialah kebakaran besar yang berlaku di hutan Indonesia pada tahun 1997 telah menyebabkan beberapa buah Negara di Asia Tenggara mengalami keadaan jerebu yang sangat teruk termasuk Malaysia. Selain itu, pertambahan kepekatan karbon dioksida dalam atmosfera turut meningkatkan suhu bumi yang telah mencetuskan perbincangan hebat di kalangan para saintis di abad ini. Para saintis mendapati bahawa kepekatan karbon dioksida bertambah dari 0.032 peratus pada tahun 1968 kepada 0.038 peratus pada tahun 2000. Mengikut analisis tersebut, ia menyebabkan peningkatan suhu sebanyak 0.5 darjah selsius, dan kesan ini dikenali sebagai kesan ‘rumah hijau’.

1 ulasan: